Fotografi… Bergunakah? Apa kelebihannya?

Terbaca satu artikel berkenaan kelebihan fotografi, maka terdetik nak tulis artikel ni. Kebanyakan kelebihan yang ditulis adalah terkait dengan aku, cuma apa yang ditulis di sini sedikit berbeza dan diterjemahkan dalam bahasa melayu.

Berbalik kepada soalan-soalan di dalam tajuk. Bergunakah? Apa kelebihannya?

Tidak berguna, kurang berguna, berguna, sangat berguna… bergantung kepada minat dan keperluan individu itu sendiri. Bagi pendapat aku, fotografi adalah berguna (kadang-kadang sangat berguna).

Kenapa berguna? Soalan ni sekaligus akan menjelaskan apa kelebihannya…

Fotografi mampu mengabadikan

Bukan abadikan orang, tapi kenangan. Pernah satu ketika dulu aku terjumpa satu gambar yang sangat lama, dan di dalam gambar tu semuanya gambar budak-budak pengakap. So aku bertanya kepada arwah Ayah, siapa di dalam gambar tu? Arwah jawab, itu la gambar Ayah masa zaman kanak-kanak bersama dengan kawan-kawan.

Sehingga sekarang, masih aku simpan gambar aku sendiri yang diambil oleh arwah Ayah ketika aku masih bayi, kanak-kanak. Bermula zaman bujang, berkahwin dan terkini, diambil oleh aku sendiri dan kawan-kawan sama hobi. Insya Allah akan aku teruskan usaha untuk mengabadikan gambar-gambar aku, keluarga dan anak-anak supaya dapat dijadikan tatapan generasi aku yang akan datang.

Fotografi mampu menjadi perjalanan cerita dalam kehidupan

Sambung cerita di atas, memandangkan arwah Ayah seorang yang gemar fotografi… banyak gambar-gambar lama yang dia simpan. Dari zaman kanak-kanak, remaja, dewasa, zaman perkahwinan, zaman menjadi ayah dan seterusnya. Dari situ, serba sedikit aku dapat mengenali personaliti dan gaya kehidupannya dengan lebih mendalam.

Fotografi boleh menghilangkan stress

Bukan kepada semua, tapi kebanyakkan dan bagi aku sendiri. Bahagian ni mungkin panjang sikit… kita mula dengan fotografi landscape, sunrise.

Kepada yang tak pernah shoot sunrise, cubalah keluar awal pagi (sesudah subuh) dan menuju ke tempat yang lapang dan menghadap ke arah matahari naik. Percayalah, dengan kesegaran udara nyaman di waktu pagi… disajikan dengan keindahan langit dan awan yang bertukar-tukar warna dan rupa… ditambah dengan terik pagi yang mampu memberi kita kesegaran… ianya sangat-sangat membantu kita untuk menghilangkan stress. Sekaligus, akan mengingatkan dan menyedarkan kita akan kebesaran Allah S.W.T yang selama ini mungkin kita tidak pernah terfikir.

Kita pergi ke satu lagi jenis fotografi, makro. To be honest, minat aku kepada fotografi makro hanya bermula sekitar tahun 2014. Apa yang aku dapat kongsikan di sini, fotografi makro juga mampu menghilangkan stress dan sekaligus dapat menyihatkan badan. Kenapa?

Bagi yang kurang atau tidak bersenam macam aku, berjalan di dalam hutan sambil membawa peralatan kamera, menjaga kestabilan tangan, membongkok-bongkok berbaring meniarap di atas tanah dapat menghilangkan ketegangan otot-otot badan disamping akan mengeluarkan peluh yang banyak. Memang betul, kalau nak rasa cubalah kita buat tai-chi… walaupon tidak berlari tapi tetap akan mengeluarkan peluh hehehe. Tapi apa kaitannya dengan stress? Mudah… tumpuan kita kepada unggas-unggas atau serangga dapat menenangkan fikiran kerana kecantikan dan keunikan mereka. Kita takkan sedar semua tu dalam kehidupan seharian kita, ianya akan datang hanya ketika kita perhati dan tumpukan pandangan kita kepada mereka.

Fotografi mampu memberikan pendapatan sampingan

Tidak lain, jenis bisnes yang pertama difikirkan untuk mendapatkan duit dalam fotografi adalah perkahwinan… termasuk aku hehehe. Walaupon ada banyak jenis fotografi yang mampu mendatangkan pendapatan, fotografi perkahwinan adalah yang paling popular, cepat dan mudah untuk dilaksanakan. Tetapi perlu diingatkan, sekadar untuk mendapatkan pendapatan sahaja tidak mencukupi untuk menjadi seorang fotografer perkahwinan yang benar-benar berkaliber. Sebaliknya, sifat keinginan, bersemangat dan minat perlu ditanam di dalam hati. Dengan ini, kita akan menyukai akan bidang yang kita ceburi sekaligus dapat meningkatkan kreativiti dalam penghasilan gambar. Dan percaya atau tidak, fotografi perkahwinan juga mampu memberi kita kesihatan kerana kita akan sentiasa berpeluh ketika menjalankan tugas di satu-satu majlis perkahwinan… cubalah hehehe.

Fotografi mampu memberi kesedaran

Kita ambil contoh fotografi jalanan… pernahkah anda yang tidak minat mengambil gambar melihat gambar-gambar jalanan? Kalau tak pernah, cuba pergi ke mana-mana bandar, pekan, jalan yang dibanjiri oleh manusia. Ambil beberapa keping gambar (guna handphone pon boleh), balik dan lihat semula gambar-gambar tersebut.

Percaya atau tidak, anda akan dapat melihat berbagai-bagai jenis watak, cara kehidupan manusia dan saat (moment) yang tak mungkin akan dapat disaksikan lagi. Sebagai contoh, golongan yang susah. Jika kita perhatikan kehidupan mereka, ianya mampu menyedarkan kita betapa bertuah dan beruntungnya kita jika dibandingkan dengan mereka yang susah menjalani kehidupan diluar sana (kalau kita ada kesedaranlah hihihi).

Kesimpulan

Mungkin ada banyak lagi kelebihan-kelebihan yang tidak dapat aku tulis di sini. Kesemua di atas tidak semestinya berkesan terhadap semua orang. Apa yang cuba ditekankan berdasarkan pendapat peribadi yang tidak profesional dan pengalaman aku, fotografi adalah satu bidang yang sepatutnya diceburi. Walaupon tidak dilengkapi dengan alat-alat fotografi yang canggih atau proper, ianya boleh dimulakan walaupon dengan hanya menggunakan kamera telefon bimbit. Sekurang-kurangnya, rakamlah saat-saat indah bersama keluarga, pasangan hidup, anak-anak dan sahabat handai. Dan cuba jangan hentikan setakat berkongsi atau memuat naik ke laman-laman media sosial sahaja, sebaliknya cubalah abadikan gambar-gambar tersebut dengan mencetaknya dan dimuatkan di dalam buku album.

Akhir sekali, perlu juga diingat… fotografi sepatutnya menjadi satu bidang atau hobi yang boleh membawa kepada kebaikan… bukannya untuk mendatangkan keburukan, perselisihan dan fitnah. Wallahualam…

Leave a Reply